KOLEJ PENGAJIAN SENI KREATIF (KPSK): MEMPERKASA PELAJAR MELALUI DIA FEST 2023

Kaedah pengajaran dan pembelajaran dalam sistem pendidikan negara telah melalui transformasi yang pelbagai. Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK), UiTM terpanggil untuk memperkasakan pelajar mereka dengan cara tersendiri. Lahirlah Digital & Imaging Arts Festival 2023 (DIA Fest 2023) yang merupakan acara yang julung kalinya dianjurkan oleh Pengajian Seni Digital dan Imejan dengan kerjasama Bidang Pengurusan Industri Kreatif dibawah Pengajian Seni Liberal. Festival ini menyatukan bidang-bidang pengajian dan program di bawah pengajian iaitu Bidang Seni Reka Grafik, Teknologi Percetakan, Fotomedia Kreatif, Filem, dan Teknologi Kandungan Kreatif.


Untuk rekod, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) merupakan gabungan 3 fakulti iaitu Fakulti Filem, Teater dan Animasi, Fakulti Muzik dan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka. Setelah digabungkan, lahirlah Kolej Pengajian Seni Kreatif dan beberapa faktor seperti ciri, kualiti, dan pengkhususan seni visual digital dilihat mempunyai keupayaan untuk memangkin usaha sinergi antara bidang pengajian di UiTM. Sinergi ini bakal menghasilkan impak yang maksima kepada UiTM, bakal graduan, industri dan komuniti. Namun, menurut Ketua Pengajian Seni Digital dan Imejan, Ts. Dr. Mohd Erman Maharam, sinergi ini tidak akan menjadi kenyataan tanpa kolaborasi dan semangat yang tinggi para pensyarah dan pelajar serta sokongan alumni yang kukuh. Strategi yang signifikan dan membabitkan jalinan kolaborasi ini pastinya akan diperhalusi menjadi satu model yang bersifat jangka panjang yang menguntungkan semua pemegang taruh. Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015- 2025 (Pendidikan Tinggi) iaitu menambah baik sistem pendidikan tinggi, dan berhasrat untuk membangunkan bakat terpelajar dipacu nilai, yang akan memberikan sumbangan kepada pembangunan negara, Ts. Dr. Mohd Erman Maharam menegaskan bahawa DIA Fest 2023 tekad memasarkan dan mempromosikan hasil karya pelajar kepada umum untuk mewujudkan jaringan intelektual antara pensyarah, pelajar, alumni, industri dan komuniti.

Pengarah Projek DIA Fest 2023, Encik Azri Abu Hassan juga menyatakan program ini dianjurkan selaras dengan Dasar Industri Kreatif Negara (DIKN) dalam menjadikan industri kreatif negara lebih berdaya saing dan dinamik untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan memartabatkan budaya negara bangsa. Antara karya alumni yang boleh diangkat dan dibanggakan ialah “Prebet Sapu” karya Muzzamer Rahman yang merupakan Alumni Kolej Pengajian Seni Kreatif yang telah tercalon mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Akademi Ke-94 di Los Angeles, Amerika Syarikat.

Timbalan Pengarah Projek, Cik Andrialis Abdul Rahman berkata DIA Fest 2023 ini bukan sahaja untuk diperkenalkan kepada pihak industri, malah mampu dijadikan pemangkin para pelajar di peringkat rendah dan menengah untuk mula mengenali bidang yang ada di bawah pusat Pengajian Seni Digital dan Imejan.

Manakala bagi Ketua Pengajian Seni Liberal, Dr Ahmad Kamal Basyah Sallehuddin pula menjelaskan bahawa kolaborasi ini merupakan satu manifestasi sinergi dalam usaha untuk mempromosikan dan memperkenalkan program-program akademik setiap pengajian di bawah KPSK. Perancangan yang sistematik diperlukan bagi mencapai objektif yang diingini dan sekaligus satu acara terhasil dari kolaborasi ini. Setiap bidang mempunyai kekuatan tersendiri dan festival ini membuktikan bahawa kesemua bidang saling memerlukan di antara satu sama lain.

Antara aktiviti yang berlangsung sepanjang DIA Fest 2023 adalah pameran karya pelajar tahun akhir, diskusi, tayangan filem pendek dan perkongsian ilmu bersama pihak industri yang sekaligus akan menilai kesemua hasil akhir pelajar. Antara Penilai industri yang akan turut serta ialah mantan Ketua Pengarah Finas, Dato’ Kamil Othman. Penyunting filem, Isazaly Isa. Pengarah filem dan alumni KPSK, Putri Purnama. Karya bidang Fotomedia Kreatif pula akan dinilai oleh Encik Bazuki Muhammad yang merupakan bekas wartawan Reuters dan Penyunting Foto NSTP, manakala Bidang Teknologi Percetakan menjemput Puan Nurul Husna Azmi yang merupakan Pengurus Pembangunan Perniagaan, Pembungkusan Ultimate Print Sdn Bhd. Bidang Seni Reka Grafik menjemput Puan Samsiah Jendol, Pengasas Little Syam dan Encik Mohamad Zaky Khairuddin, Pensyarah Seni Visual, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) menilai karya pelajar bidang Animasi.

Untuk maklumat lanjut berkenaan program Digital & Imaging Arts Festival 2023 (DIA Fest 2023), boleh hubungi Puan Darlina Baharuddin, di talian 019 – 204 9520 atau rujuk laman sosial rasmi Instagram @DiaFest23.





3 comments

  1. Bidang seni reka grafik? Unlce lah tu!

    ReplyDelete
    Replies
    1. wahhh yeke uncle! seni reka grafik tu sebenarnya mcm mana?

      Delete
  2. saya jenis yang kurang kreatif hehehehe

    ReplyDelete

Be nice. Leave a comment and I'll be sure to visit you guys back.
If my post is good, I'll be happy if you could share it. ☆

Please don't publish links or spam~ Thanks! ・*☆